Sabtu, 26 Februari 2011

Cerpen : Nilaian Hidup

Malam ini aku rasa sangat mengantuk. Entah la kenapa mataku tetiba saja rasa seperti ada orang letakkan pemberat di mata aku. Mata aku sudah beberapa kali tertutup, namun tangan aku masih lagi menaip setiap baris ayat ini. Dalam kepala aku, terlalu banyak idea untuk aku cambahkan dan aku muntahkan supaya otakku tidaklah rasa terbeban menanggungnya. Wahai mata, janganlah kau cuba menodaiku agar aku terbuai diulik mimpi yang panjang. Aku masih mahu meneruskan perjuanganku untuk mencoretkan seberapa banyak idea yang mencurah-curah dalam minda aku ini. Tidak sesiapa pun mengetahui bahawa aku bukanlah seorang insan yang sempurna dan penuh dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadaku. Nikmat muda sebelum tua, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin, sihat sebelum datangnya sakit dan hidup sebelum mati. Itulah lagu yang sentiasa terngiang-ngiang di setiap benak fikiranku. Allah SWT menyuruh kita sentiasa mengingatkan lima perkara ini dalam kehidupan kita supaya kita tidak tersasar jauh dari landasanNYA.

Jauh di lubuk sanubariku, sungguh aku tidak menyangka bahawa setiap hari aku bergelut menunggu seruanMU. Mengenangkan keadaan aku yang masih lagi berada ditahap 3 iaitu tahap kritikal di mana aku mempunyai harapan 50-50 untuk hidup. Aku menjadi lemah. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepada aku. Tiada siapa yang mampu melawan kehendakNYA. Terasa suara Dr. Anuar masih lagi terngiang-ngiang di telinga ini.

“Hello. Assamualaikum Aleesya, boleh saya berjumpa dengan awak hari ni?” Dr. Anuar menelefon aku.

“Waalaikumsalam Nuar. InsyaAllah, tapi boleh saya tahu kenapa?” tanyaku kepadanya.

“Sebenarnya saya sudah dapat keputusan ujian yang telah dibuat ke atas awak. Boleh kita berjumpa di Taman Tasik Indah?”

Hati aku tetiba berdebar-debar. Keputusan ujian yang aku sudah lakukan di Hospital Kajang akan aku ketahui nanti. Aku tidak pasti samada aku dapat menerima keputusan itu mahupun sebaliknya. Aku terdiam seketika, tiada suara dihujung telefon. Suara Dr. Anuar masih lagi memanggil-manggil nama aku.

“Aleesya. Awak okay ke? Awak masih ditalian ke?” tanya Dr. Anuar bertalu-talu.

Aku terjaga dari lamunan aku tadi. Segera aku menangkap suara itu.

“Ya saya. Baiklah Nuar, selepas habis waktu sekolah petang nanti saya akan ke sana. Kita jumpa di sana. Assalamualaikum.” Aku terus mematikan telefon dan beredar meninggalkan bilik guru.

Aku cuba mencari satu ruang untuk aku menenangkan diri. Aku menjadi tidak tentu arah mencari ruang yang sunyi. Tidak semena-mena saja kaki aku terus melangkah ke surau sekolah. Di pagi hari begini, tiada siapa akan berada di dalam surau itu kerana sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Kebetulan pula pada pagi itu aku tidak ada kelas. Kelas aku bermula selepas waktu rehat. Aku cuba menenangkan diri aku dengan solat hajat dan membaca Quran. Hati aku menjadi tidak tenang dan aku takut untuk menerima kenyataan sekiranya berlaku sesuatu ke atas aku ketika mendengar keputusan nanti. Aku memohon agar Allah tabahkan hati aku untuk menerima dengan penuh ketenangan segala keputusan yang akan diberitahu oleh Dr. Anuar.

Selepas waktu persekolahan habis, aku memandu kereta menuju ke Taman Tasik Indah seperti yang telah kami janjikan. Semasa perjalanan, aku berasa sangat tenang. Mengimbau kembali kenangan bagaimana aku mengenali Dr. Anuar memang kelakar. Kami bertemu dan berkenalan di parkir kereta di Tesco, Shah Alam. Aku memarkirkan kereta di sebelah kereta Dr. Anuar dan aku tidak mengecam sama sekali bahawa kereta yang kami naiki itu sama modelnya, warnanya dan nombor platnya hampir sama. Kami menaiki kereta Myvi Special Edition,cc 1.3 dan warna putih susu. Semasa aku hendak meletakkan barang-barang aku ke dalam bonet kereta, tiba-tiba sahaja siren kereta aku berbunyi. Aku pun cuba membuka kereta, tapi tidak boleh. Aku menjadi panik tiba-tiba. Sudahlah alat kawalan untuk membuka kereta aku rosak, tetiba saja bunyi siren kereta aku bergema seluruh bangunan di parkir kereta itu.

Tiba-tiba saja muncul mamat ini. Dari jauh dia melihat saja gelagat aku membuka pintu kereta yang sedang bernyanyi tidak berhenti-henti itu. Kemudian dia menghampiri aku.

“Kenapa ni cik? Ada masalah dengan kereta cik ke?” tanyanya selamba.

“Aah. Kereta saya ni tiba-tiba saja tak boleh nak buka. Sudahlah bising satu Tesco ni. Alat kawalan ni rosak. Saya tak tahu macam mana nak buat.” Jawabku dengan peluh yang sudah mula membasahi dahi aku.

“Owh. Mari saya tolong Cik.” katanya sambil tersenyum.

Tetiba saja dia menekan punat alat kawalan keretanya. Siren pun berhenti menyanyi. Aku mula tercengang-cengang sambil menggaru kepala aku yang tidak gatal. Bagaimana pula dia boleh membuka kereta aku ni? Sedangkan dia langsung tidak menggunakan kunci kereta aku. Peliknya.

“Cik, kereta cik dah okay. Jomlah, kalau Cik nak tumpang saya. Boleh saya tolong hantarkan Cik.” Katanya sambil mentertawakan aku.

Aku masih lagi bingung. Kemudian aku perlahan-lahan mengundur ke belakang melihat nombor plat kereta. Ya Allah, masa itu aku sendiri tidak tahu hendak cakap apa. Muka aku merah padam menahan malu. Rupa-rupanya itu bukanlah kereta aku. Kereta aku terparkir di sebelah keretanya. Nasiblah nombor platnya agak berbeza, di mana nombor plat kereta aku KCR 1588 dan kereta dia KCR 2588. Aku rasa seperti hendak pakai topeng saja. Malu tidak terkira aku tersalah kereta. Dari situlah aku mengenali Dr. Anuar dan kami saling bertukar-tukar nombor telefon. Lagipun dia telah memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor dan kami datang dari satu negeri yang sama. Tidak sangka dari tersalah kereta sehinggalah kami berkawan rapat sekarang. Itulah kenangan yang aku tidak dapat lupakan.

Aku tersenyum sendiri apabila mengenang kembali kenangan itu. Selalunya seperti biasa aku pasti akan sampai terlebih dahulu. Tapi kali ini, dia sudah pun menunggu aku di Taman Tasik Indah. Mungkin perjalanan dia tidak sesesak perjalanan aku semasa hendak datang ke situ. Apa-apapun dia sudah tersedia maklum, selepas waktu sekolah sememangnya jalan raya menuju ke Taman Tasik Indah akan sesak kerana pekerja akan keluar makan tengahari dan waktu rehat bagi pejabat swasta mahupun kerajaan. Sesampainya aku di situ, aku memarkirkan kereta aku di sebelah keretanya. Kemudian aku menuju ke satu tempat duduk di bawah sepohon pokok yang sangat rendang dan sejuk.

Dia memperlawa aku duduk di sebelahnya. Aku diam tidak berkata sepatah. Tiada sepatah ayat semasa aku duduk hampir 15 minit sampainya aku di situ. Kemudian dia pun memulakan perbualan kami.

“Aleesya. Awak apa khabar? Saya minta maaf sebab sudah seminggu tidak telefon awak. Saya sibuk sedikit minggu lepas. Kebetulan pula ada lawatan doktor dari India. Maafkan saya Aleesya.”

“Saya alhamdulilah sihat. Small the matter Nuar, I’m okay. I understand dear. So, how are you? Your work? Everything is okay?” balasku separuh kecewa dan sayu kerana dia tidak bertanyakan khabar aku selama seminggu minggu lepas. Sudahlah dia tidak memberitahu aku bahawa dia ada lawatan doktor dari India. Aku tertunggu-tunggu mesejnya.

“Alhamdulilah, saya sihat. Semuanya okay, tidak ada sebarang masalah.”

Tiba-tiba suasana menjadi sepi seketika. Dr. Anuar kemudiannya memandangku dengan penuh kesayuan. Kami berpandangan. Tidak semena-mena, tangkai hati aku mula terdetik dan jantung aku mula berdegup kencang. Entah kenapa perasaan ini mula menyelubungi aku semula. Dr. Anuar mula bersuara dan kini suaranya seperti ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya untuk berkata-kata.

“Aleesya, saya harap awak dapat menerima keputusan ini dengan bertenang. Awak...awak..”, tersekat-sekat suara Dr. Anuar semasa dia hendak memberitahu aku tentang keputusan ujian yang telah dibuat 2 minggu lalu.

“InsyaAllah Nuar. Cakaplah apa keputusannya. Saya bersedia mendengarnya.” Dalam hati aku hanya Tuhan yang tahu betapa gementar dan resahnya menunggu keputusan yang akan diberitahu oleh Dr. Anuar. Peluh didahi aku mula menitik setitik demi setitik.

“Saya mendapati otak awak ada ketumbuhan dan sekarang ketumbuhan tersebut sudah berada ditahap 3.” Terketar-ketar suara Dr. Anuar.

Jantung dan nafas aku seakan berhenti seketika. Bagaikan malaikat baru melintasi aku. Lidah aku kelu untuk berkata-kata tatkala mendengarnya. Kepala aku yang tadinya tidak pening, tetiba saja terasa memusing dan mata aku mula berpinar. Aku cuba menggagahkan diri untuk mendengar lagi apa yang akan dikatakan oleh Dr. Anuar. Namun ketika itulah, mata aku menjadi kelam dan gelap gulita. Aku tidak sedarkan diri.

Tersedarnya aku dari pengsan, aku dapati aku sudah pun berada di bilik yang mana kanan dan kiri aku dinding putih. Hati aku terdetik aku mesti di Hospital Kajang. Kepala aku seperti ada gasing yang sedang ligat berputar. Aku cuba mencari-cari kelibat Dr. Anuar. Aku gagahkan diri untuk bangun dari katil, tiba-tiba Dr. Anuar masuk.

“Aleesya nak ke mana?” dia mendekati dan menolong aku untuk bangun dari katil. Diwajahnya terpancar keresahan, namun dia tetap mengukir senyumannya yang begitu manis. Dr. Anuar ini seorang insan yang sangat baik. Dalam keadaan aku yang sebegini, dia tetap mengambil berat terhadap aku. Aku hanya mampu mengukir senyuman yang amat perit untuk aku ukirkan kepadanya.

“Saya nak bangun. Kepala saya pening sangat Nuar.” balasku.

“Owh. Awak berehat dulu. Nanti saya bawakan awak ubat. Lagipun muka awak nampak pucat.” Katanya sambil menghulurkan aku sebotol air. Kemudiannya dia beredar ke kaunter untuk meminta jururawat mengambilkan ubat. Belum sempat dia beredar aku memanggilnya.

“Nu..Nuar..Can I ask you?.” Tanyaku.

“Sure, you can. What is it?” balas Dr. Anuar segera memberhentikan langkahannya untuk beredar. Dia menghampiri aku semula.

“A..adakah penyakit saya ni berada di tahap yang kritikal?” tanyaku dengan suara yang terketar-ketar. Sungguhpun aku tidak sanggup untuk mendengarnya, aku tetap kena dengar juga.

Suasana menjadi sunyi sepi. Tiada sepatah kata yang keluar daripada mulut Anuar. Namun dari riak mata Anuar, aku sudah mengetahui segalanya. Setitik demi setitik air mataku mula melimpahi pipi. Jernih-jernih mutiara itu diseka Anuar, tidak dibiarkan mengalir dipipi aku. Aku tertunduk pilu mengenangkan nasibku.

Aku masih ingat lagi, setiap malam aku pasti akan bermimpi yang aku hanya mampu hidup untuk tempoh seketika saja. Setiap kali aku terjaga dari tidur, aku beristighfar. Mungkin ini semua hanyalah mainan mimpi semata-mata. Ajal maut, jodoh pertemuan semuanya ditangan Tuhan. Tiada siapa yang mampu melawan takdir Allah. Aku tidak sekuat arwah abang Isma. Abang Isma sangat kuat dan tabah apabila dia disahkan oleh doktor menghidap penyakit kanser otak. Sehinggalah abang Isma menghembuskan nafasnya yang terakhir, abang Isma tetap kuat.

“Aleesya. Awak makan ubat ni dulu.” Kata Anuar sambil menghulurkan ubat yang telah diambil olehnya. Jelas dimatanya aku dapat melihat jernihan mutiara dikelopak matanya. Disimpannya agar tidak jatuh membasahi bumi.

“Terima kasih Nuar. Saya banyak menyusahkan awak. Saya akan hidup tak la...”

Tiba-tiba tangannya segera menutupi mulutku agar aku tidak bercakap yang bukan-bukan. Sebutir mutiara jatuh jua akhirnya dipipi Anuar.

“Jangan cakap macam tu Aleesya. Saya sayangkan awak. Saya tak mahu awak mudah putus asa. InsyaAllah awak akan baik seperti sedia kala.”

“Tapi saya....saya akan mati sama seperti abang Is..” balasku sebelum sempat aku menghabiskan kata-kataku.

“Aleesya. Awak kena ingat, Allah sentiasa berada bersama kita. Selagi saya ada, InsyaAllah saya akan cuba sedaya upaya untuk mengubati awak. Awak perlu kuat demi saya Aleesya. Saya cintakan awak.” Akhirnya kalimat cinta itu terluah jua. Perasaan yang sudah lama disimpan kini terluah. Aku terkaku apabila mendengar luahan cintanya terhadap aku. Mengapa di saat, ketika ini kau baru nak luahkan semua ini Anuar? kenapa tidak sebelum ini atau selepas aku sudah tiada? Kau bersimpati di atas apa yang telah berlaku ke atas aku?

bersambung......

2 ulasan:

  1. permulaan yg agak tragis jg...huhuhuhu..
    knp mesti sedih pd pmulaan cite..??
    pertemuan pertama yang menarik n lucu tp kalu blh cerita detail skit part tu masti manarik kn..
    kn tambah babak2 maenarik.. trusakn usaha..
    ni pndapat aku la.. tp jln cite ni ko taukenye..
    so, olahla cerita mgikut selera ko...

    BalasPadam
  2. tragis di awal prmulaan ada sbbnye..tgu episod strusnya..hehehe
    prtemuan 2, aku sngaja ltakkn yg biasa2 je dlu..hehehe t aku touch up lg..

    BalasPadam