Khamis, 22 September 2011

Keluarga Yang Bahagia Penuh Kedamaian

















Menjadi lumrah kepada setiap keluarga yang menginginkan sebuah keluarga yang bahagia dan hidup dengan penuh aman dan damai. Bukan sahaja antara suami dan isteri malahan dengan kehadiran anak-anak yang menyerikan rumahtangga. Tidak ada pasangan yang ingin keluarga menjadi hancur. Semuanya ingin keluarga sakinah, yang penuh kedamaian dan ketenteraman di dalam hati. Bahkan Rasullulah SAW sendiri menggambarkan rumahtangga yang baginda bina itu bagaikan syurga. Ungkapan baginda ialah "Baitii Jannati", "Rumahku Syurgaku". Ini suatu bukti bahawa rumahtangga Rasullulah memang betul-betul memperoleh ketenangan dan ketenteraman daripada ALLAH SWT.


Tujuan perkahwinan pada dasarnya mempunyai ikatan yang kuat dan kukuh untuk mengembangkan keturunan. Kerana perkahwinan bukan sahaja untuk memenuhi kesenangan syahwat semata-mata namun mempunyai tujuan yang lebih penting. Di dalam surah Ar-Rumm ayat 21 diungkapkan bahawa setidak-tidaknya tujuan perkahwinan itu mengandungi makna seperti berikut:

  • Membentuk keluarga sakinah : ertinya ahli keluarga yang ada di dalamnya hidup secara tenang dan tenteram, menyelesaikan masalah rumahtangga secara bersama. Suka duka kehidupan dihadapi secara bersama demi mencapai kedamaian dan kebahagiaan.
  • Mawaddah : ertinya kehidupan anggota keluarga dalam suasana kehangatan cinta dan kasih sayang, saling hormat-menghormati, serta saling membimbing kelebihan dan kekurangan yang ada dalam diri masing-masing.
  • Membentuk keluarga yang penuh "Rahmah". Ertinya pergaulan ahli keluarga dengan sesama penghuninya saling sayang-menyayangi, cinta mencintai sehingga kehidupan benar-benar dalam suasana kasih sayang.
Info ini dipetik daripada buku.
Habsah Md Nor (2009). Isteri Teladan Igauan Seorang Suami. Kuala Lumpur : Darul Nu'man.