Rabu, 13 Oktober 2010

cerpen : Ketentuanku

Sudah seminggu cuti midsemester aku berlalu, tinggal tiga hari saja lagi untuk aku pulang ke kampus. Terasa sekejap saja cuti kali ini, pejam celik sudah seminggu berlalu tanpa aku sedari.

“ Huh..dah seminggu rupanya, aku rasa baru lima hari. Malasnya nak balik kolej.” dengusku.

Di pagi hari yang sunyi sepi itu, aku termenung keseorangan di hujung jendela rumahku. Tetiba aku teringat akan apa yang telah dikatakan oleh Halimah tempoh hari.

“ Syahree kau tu,dah berpunya!! Buat apa kau tunggu dia lagi. Tak ada gunanya..Lagipun aku dengar dia dah nak bertunang. Daripada kau tunggu dan menagih cinta dustanya tu, lebih baik kau terima saja cinta orang yang mencintai kau,” terngiang-ngiang lagi kata-kata Halimah itu.

“ Kau dah tengok dengan mata kau sendiri yang dia ada perempuan lain? Jangan tau tuduh macam tu je!,” marahku kepada Halimah.

“ Ita..ita..kalau aku tak tengok dengan mata kepala aku sendiri, masakan aku nak cerita kat kau. Kau tu kawan baik aku, tak kan la aku nak biarkan kau dipermainkan oleh lelaki buaya darat tu? Cubalah kau fikir sikit. Bukalah mata kau tu luas-luas,” Halimah membalas.

“Selagi aku tak tengok dengan mata kepalaku sendiri, aku tak percaya yang dia ada perempuan lain. Entah-entah kau tersilap tengok kot.” Balasku dengan tegas.

“Mata aku ni masih terang lagi. Aku nampak dia dengan perempuan lain, siap berpegangan tangan dan tanpa segan silunya mereka berpelukan. Kalau kau tak percaya, cubalah kau tanya Maira”. Balasnya

Aku terkedu mendengar Halimah berkata begitu. Selama aku mengenali Halimah, dia tidak pernah menipu kepada aku atau sesiapa pun. Begitu juga dengan Maira. Sekarang apa yang perlu aku buat ialah melihat sendiri dengan mata kepala aku. Aku tidak sanggup berjauhan dengannya kerana dialah cinta pertamaku. Perkara itu sering melayang-layang difikiranku. Aku terfikir, adakah apa yang dikatakan olehnya benar ataupun dusta belaka? Aku kebingunggan. Apakah ketentuanku untuk jadi begini dan kemahuanku tidak dikabulkan olehNya? Tapi aku perlukan bukti yang menyatakan Syahree sudah berpunya dan bakal bertunang.

Kemudian Halimah berkata pula, “Seandainya ada ketentuan kau dengan si Syahree, memang bernasib malanglah kau. Dia tu suka berfoya-foya, perempuan keliling pinggang, suka mabuk-mabuk. Aku hairan macam mana kau boleh tersangkut dengan laki buaya darat tu? Alangkah baiknya, kalau kau terima cinta orang yang mencintai kau dan sanggup bersusah payah kerana kau. Apa kau dah buta? Tak nampak laki yang sebaik Hairi tu”.

Aku senyap tanpa berkata. Air mataku mula berlinangan di kelopak mata. Tetiba air mataku mula menitis ke tanah bagaikan embun yang menitis di pagi hari kemudiannya deras mengalir bagaikan hujan yang menimpa bumi.

Kata-kata Halimah itu bagaikan satu panahan petir buat diriku. Berkecai hatiku ini. Tiba-tiba badanku lemah longlai bagaikan nak pitam. Nasib baiklah Maira yang ketika itu pulang dari perpustakaan sempat menyambarku kemudian Maira memapahku ke kolej. Maira tahu akan hal ini, tapi dia tak seberani Halimah untuk menceritakan hal yang sebenarnya. Aku tahu mereka sangat sayang padaku. Mereka sudah lama tahu Syahree itu sudahpun mempunyai teman wanita dan kaki perempuan tapi aku yang berdegil tidak mahu mempercayai mereka. Syahree pandai bermain dengan kata-kata dan setiap ayat yang digunanya boleh mencairkan mana-mana perempuan yang dekat dengannya.

Setelah habis cuti midsemester, tibalah masanya aku pulang ke kampus. Tengah hari itu, aku dan Maira pulang agak lewat ke kolej. Manakala Halimah pula pulang lebih awal. Setelah kami sampai di kolej, aku telah diberitakan yang Syahree telah pun bertunang.

“Apa?? Dia dah bertunang! Dengan siapa?” tanyaku kepada Halimah dengan tegasnya.

“ Dia bertunang dengan anak Datuk Ismail, rakan kongsi bapanya,” balas Halimah tegas.

Aku sungguh terkejut dengan berita itu. Halimah dan Maira sudah menyangka akan hal ini. Aku betul-betul dipermainkan oleh lelaki buaya darat itu.

Tut..tut..tut.. Aku cuba menelefonnya, tapi tidak dapat.

Hatiku mula tak tentu arah. Tiba-tiba mataku terasa pedih. Air mataku mula membasahi bumi. Tanpa berfikir panjang, aku membuat keputusan untuk pergi ke rumahnya.

“ Aku mesti pergi..aku mesti pergi..”detik hatiku. Hatiku masih kuat mengatakan Syahree belum bertunang. Aku perlu tengok sendiri.

Setibanya aku di hadapan rumah Syahree, aku terkesima melihat dia dan seorang wanita sedang bergurau senda sambil menikmati minuman petang. Kemudian aku terlihat dia memegang tangan wanita itu dan menciumnya. Dadaku mula sebak apabila melihat mereka begitu.

“ Syahree!Syahree!,” panggilku.

“ Hei..kau ni siapa? Apa kau nak?” tanya tunangnya.

“ Kau tanya aku ni siapa? Kau tanyalah dia.” Jawabku.

“Siapa dia ni sayang? Tetiba saja datang, terjerit-jerit macam orang gila,” tanya perempuan yang bermulut lancang itu kepada Syahree.

“Entah. Sayang tak kenal dia pun. Mungkin orang gila agaknya,” balas Syahree tanpa menghiraukan aku.

Sayu hatiku ketika itu. Terasa bagaikan diri ini seperti dipanah petir. Hatiku mula panas dengan kata-katanya si mulut manis dan buaya darat itu.

“Sampai hati kau buat aku begini? Janji kau untuk setia bersamaku buat selamanya, kau musnahkan begitu saja!” jerkah aku kepadannya.

“Janji setia bersama? Siapa dia ni sayang?,” tanya perempuan itu pelik.

“Jom, kita masuk! Pedulikan orang gila ni.” kata Syahree kepada tunangnya. Dia langsung tak mengendahkan aku, malah dia terus masuk ke dalam rumah bersama perempuan itu.

Ya Allah. Apakah ini ketentuanku? Mengapa aku diseksa begini,detik hatiku. Nak pitam aku dibuatnya. Sampai hati dia sanggup buat aku begini. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir dipipi dan fikiranku mula melayang-layang. Hairi sudah lama mengekori aku dari kolej lagi. Aku tidak menyedari kehadirannya. Aku melintas jalan seperti orang yang hilang arah dan akal.

“Mashitah.. Awak buat apa ni?,” Hairi merentap tanganku.

“Lepaskan aku! Lepaskan aku!,” jerkahku padanya.

“Awak dah gila ke? Melintas jalan tak tentu arah ni!” marah Hairi padaku.

“Kenapa awak ikut saya? Awak nak apa?,” tanyaku padanya yang penuh kesayuan.
Hairi terus menarik aku masuk ke dalam keretanya. Di dalam kereta, dia senyap tanpa bertanya dan berkata sepatah pun. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Aku letih dan tidak bermaya.

Tibanya aku di kolej, Maira dan Halimah sudah pun menunggu aku. Mereka memimpin aku masuk ke bilik.

“Terima kasih Hairi kerana tolong Mashitah. Kalau kau tak ikut dia tadi, entah apa la yang akan terjadi. Nasib baik kau telefon aku kalau tak, aku langsung tak tahu dia pergi ke rumah laki tu.” Kata Halimah kepadanya.

“ Tak apa. Lagipun kebetulan aku ternampak dia keluar dengan tergesa-gesa. Aku pun ikut dia.”balas Hairi.

Dalam bilik, aku ditemani oleh Halimah dan Maira. Mereka takut apa yang akan berlaku di luar jangkaan mereka. Tiba-tiba Halimah bersuara.

“ Ita. Kau perlu bersabar dengan dugaan Allah ini. Allah tu Maha Penyayang dan Pengasih terhadap hambaNya. Inilah yang dikatakan ketentuan. Tak semua kemahuan yang kita ingini, kita akan dapat. Kalau Allah tak tunjukkan pasal hal ni, suatu hari nanti kau akan tahu juga. Kau akan parah.” Nasihat Halimah padaku.

“ Maafkan aku. Selama ini aku tak percayakan kata-kata kau. Aku buta dan terpukau dengan ayat-ayat manisnya. Aku diperbodohkan,diperalatkan.”kataku pada Halimah sebak.

“Jangan cakap macam tu. Kami tak pernah salahkan kau.”jawab Maira.

“Sekarang ni, kau perlu banyak beristighfar, sabar dan tenangkan fikiran. Kau perlu banyak berehat. Jangan fikirkan lagi perkara-perkara tu.”kata Maira.

“Terima kasih Halimah, Maira. Insya-Allah aku akan cuba.” Balasku sayu.

Setelah tiga bulan aku cuba melupakan Syahree, dia kembali mendekati aku. Dia cuba melemparkan kata-kata manisnya untuk mengaburi segala tohmahannya pada aku.

“ Mashitah. Dengar dulu penjelasan I. I tak sanggup berjauhan dengan U. Kalau U tak ada depan mata I,tak tenteram hidup I. Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Wajah U sering membayangi I.”katanya padaku dengan penuh nada romantis.

“Dasar laki tak tahu malu. Dah la kau kata aku gila. Kau biarkan aku macam tu saja. Kau anggap aku ni sampah buat kau. Senang-senang saja kau boleh lempar aku kat mana-mana.
Dasar laki buaya darat!”marahku meluap-luap.

“I tak berniat macam tu. I terpaksa bertunang dengan dia. Ini semua kehendak mama dan papa I. I tak nak kahwin....”. Dia cuba menjelaskan padaku dengan penuh sayu dan memujuk.

“ Kau ingat aku nak percaya cakap kau. Kau tipu aku hidup-hidup. Huh..selama ni aku percaya dengan kata-kata manis kau tu. Tapi sekarang tak lagi. Aku tak kan percaya kata-kata busuk kau tu. Faham!” celahku belum sempat dia menjelaskan.

“ Sekarang aku bahagia disamping Hairi. Dia banyak memberi semangat dan menolong aku. Aku rasa lebih tenang bila berada disampingnya. Tak macam kau. Suka mainkan perasaan dan hati perempuan. Daripada aku buang masa cakap dengan kau, lebih aku pergi sembahyang zohor. Layan kau ni, sampai esok pun tak habis. ”balasku padanya sinis.

Tanpa membuang masa aku berlalu pergi tanpa menghiraukan dia. Terkesima dia melihat aku berkata begitu. Selama ini aku tidak pernah meninggikan suara dan berkata begitu. Kali ini aku seperti mendapat satu kekuatan yang baharu untuk bersemuka dengan dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan